Usah terpedaya Imej 'Hantu'

Usah terpedaya imej 'hantu'

MARANG – Orang ramai di negeri ini diminta jangan terpedaya dengan pelbagai imej ‘hantu’ yang disebarkan selepas ia dipercayai dirakam menerusi telefon pintar.

Ia berikutan imej berkenaan dengan mudah dihasilkan menerusi aplikasi Camera 360 Ultimate.

Sudah pasti bagi yang kali pertama melihat gambar mistik dikatakan imej ‘hantu’ bergambar bersama keluarga mereka, objek atau pemandangan akan terkejut melihatnya namun ia adalah imej palsu dan boleh disunting menggunakan aplikasi berkenaan.

Pengalaman itu turut dilalui seorang pembaca Sinar Harian dari Kampung Kedai Buluh, Bukit Payung malam kelmarin apabila dia terkejut setelah melihat imej menyerupai ‘toyol’ didakwa berjaya dirakam seseorang lalu terus menghubungi Sinar Harian.

Namun gambar ‘toyol’ dalam gambar itu sangat jelas dan berkemungkinan telah disunting ‘seseorang’ sebelum dihantar kepada orang lain, malah seorang wanita di Kampung Darat Pak Chan juga mendakwa berjaya merakam imej sama bulan lalu.

Imej ‘hantu’ atau ‘toyol’ itu sebenarnya boleh dibuat dengan senang menggunakan aplikasi Camera 360 Ultimate pada telefon pintar dan selain ‘toyol’, ‘hantu’ perempuan berambut panjang tanpa badan juga boleh dihasilkan menggunakan aplikasi sama.

Pada 25 Oktober tahun lalu, rakyat Malaysia juga dikejutkan apabila seorang jururawat di Melaka mendakwa telah berjaya merakam imej ‘hantu’ perempuan di hadapan lif sebuah hospital swasta di negeri itu dan disiarkan sebuah akhbar kompak bukan Sinar Harian.

Bagaimanapun, penipuan itu akhirnya terbongkar apabila beberapa pihak terpanggil untuk mendedahkan perkara sebenar menerusi blog, Facebook dan pelbagai media alternatif lain.

Artikel Terkait