Budak 12 Tahun Curi RM50 000 Milik Ibunya...



[HM] Tindakan seorang ibu berkongsi kod laluan peti besi dengan anak lelakinya berusia 12 tahun membawa padah apabila wangnya berjumlah RM50,000 disimpan dalam peti berkenaan lesap dipercayai dicuri kanak-kanak berkenaan. 

Kehilangan wang berkenaan disedari mangsa yang berusia 32 tahun apabila mendapati peti berkenaan kosong ketika membukanya di rumah mereka di Bukit Kuang jam 10.20 pagi, Rabu lalu.

Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai peniaga di pusat bandar ini mengesyaki anak lelakinya, murid tahun enam sebuah sekolah rendah terbabit dengan kehilangan wang berkenaan. 

Sumber berkata, sebaik mendapati wang simpanannya lesap, mangsa segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

“Polis menahan kanak-kanak terbabit pada jam 11.45 malam, Rabu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,“ katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap kanak-kanak itu, polis menahan dua lagi rakannya masing-masing berusia 13 dan 14 tahun dipercayai terbabit melakukan jenayah berkenaan. 

“Dua remaja terbabit yang masih bersekolah dalam tingkatan satu dan dua ditahan di rumah keluarga masing-masing.

“Kanak-kanak terbabit mengaku mencuri wang berkenaan,” katanya. 

Sumber berkata, tiga pelajar terbabit direman di IPD Kemaman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kes berkenaan dan penahanan tiga pelajar berkenaan bagi membantu siasatan.

Artikel Terkait

1 comments so far