Jika anda masih ingat lagi, ketika belajar Sains di sekolah dahulu, sememangnya tumbuhan memerlukan cahaya, air dan udara untuk hidup. Tanpa ketiga-tiga elemen tersebut ia tidak akan mampu hidup. Namun percayakah anda bahawa ia boleh berlaku sebenarnya, namun ia menggunakan kaedah tertentu. Eksperimen ini telah dijalankan dalam sebuah balang dan ditutup rapat tanpa sebarang air dan udara diberikan. Namun hasilnya, tumbuhan ini hidup segar. Bagaimana?
SURREY – Pesara jurutera, David Latimer, berjaya mencipta taman kecil yang diletakkan di dalam botol selepas 40 tahun tanpa udara dan air di Cranleigh, Surrey, Britain.
David berkata, pokok itu ditanam 53 tahun lalu dan kali terakhir ia disiram adalah pada 1972 sebelum penutupnya ditutup ketat untuk mendapatkan tindak balas ekosistem.
“Asalnya saya ingin mencuba eksperimen di mana tumbuhan dapat bertahan di persekitaran tanpa air. Saya membuat empat jenis tanaman di dalam botol itu. Tiga daripadanya mati kecuali pokok jenis Spiderworts,” katanya.
Menurutnya, kesemua pokok itu ditanam di dalam botol glob dan diletakkan kira-kira dua meter dari tingkap supaya mendapat sedikit cahaya matahari.
“Tanaman itu menyerap tenaga matahari dan air dihasilkan dari kelembapan karbon dioksida manakala nutrisi dihasilkan dari daun-daun yang membusuk dan berkulat. Proses ini menghasilkan oksigen,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan eksperimen ini dianggap berjaya kerana tanaman itu terus hidup segar tanpa penyakit. – Daily Mail