Laluan Ditutup Sementara Akibat Tumpahan Asid



JOHOR BAHRU: Laluan di Jalan Sagu 6 di Taman Daya di sini terpaksa ditutup beberapa jam selepas berlaku tumpahan asid hidroklorik dari sebuah tong plastik di atas laluan berkenaan.


Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Tahrin Saat berkata, kejadian berlaku pada 11.30 pagi dan bahan berketumpatan tinggi itu tumpah di atas jalan raya berkenaan ekoran kebocoran pada tong terbabit yang terjatuh daripada lori.
“Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi kereta peronda polis yang kebetulan melalui jalan terbabit. Sebanyak 16 anggota bomba termasuk Pasukan Mengendali Bahan Berbahaya (Hazmat) kemudian berusaha membersihkan laluan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Tahrin berkata, tumpahan terbabit hanya melibatkan kuantiti yang kecil dan pihaknya menggunakan air serta serbuk soda bagi membersihkannya.

Beliau berkata, kejadian itu juga tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada orang ramai.

Katanya, asid hidroklorik biasanya digunakan untuk tujuan mencuci besi dan berbahaya kepada orang ramai kerana boleh mengganggu sistem pernafasan, mata dan menghakis kulit. – BERNAMA


Artikel Terkait