Gambar hiasan
GEORGETOWN: Seorang juruteknik komputer hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tiga pertuduhan menipu tiga wanita, tahun lepas.
K K Prabaharan, 45, didakwa memperdayakan warga emas T Suppamal, 68, untuk menyerahkan enam utas rantai leher, enam pasang subang, dua pasang gelang, lima bentuk cincin dan seutas rantai tangan bernilai RM60,000 untuk tujuan dicuci.
Dia melakukan kesalahan itu di rumah nombor T-3-32, Taman Hamna Lorong Helang 1, Sungai Dua, Gelugor di sini pada 10 pagi, 7 Nov lepas.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdayakan A. Vanija, 31, untuk menawarkan tender kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Green Lane di sini dan meminta mangsa menyerahkan RM2,000 untuk tujuan itu.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan Hospital Lam Wah Ee, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim di sini, pada 3 petang, 8 Okt lepas.
Prabaharan turut didakwa memperdaya B Vikneswary, 29, untuk menyerahkan wang RM16,000 sebagai bayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Bank Rakyat, Jalan Magazine di sini pada 3 petang, 6 Dis lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Majistret Norhayati Ibrahim membenarkan Prabaharan diikat jamin RM20,000 dengan tiga penjamin dan menetapkan 16 April untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairul Fairuz Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Md Yusuf Idris.
Prabaharan ditahan 4 Jan lepas di rumah sewanya di Bukit Gambir di sini setelah polis menerima aduan mengenai kegiatan seorang kasanova yang memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman web sosial dan dipercayai mengaut lebih RM500,000 sejak 2001. - Bernama