Menurut Johan ini adalah pengalaman baru bagi dirinya dan merasa sedikit gementar untuk melakonkan babak tersebut.
“Sebenarnya untuk melakonkan adegan hampir diliwat ini adalah sangat berat dan sukar.
“Pada awalnya saya agak gementar juga dengan watak yang dibawakan oleh Jay Iswazir sebab dia terlalu menjiwai watak dengan mendalam sehingga saya boleh rasa perbuatan hampir diliwat itu seolah-olah betul. Cuak juga la masa tu.
“Ini adalah pengalaman baru dan selama ini saya tak pernah lalui benda-benda macam ini,” ujar Johan sambil tergelak.
Berkongsi lebih lanjut mengenai pengalaman berlakon drama ‘Karlos,’ Johan akui merasa sedikit mencabar untuk melakonkan watak Karlos itu sendiri kerana jalan cerita drama tersebut adalah berdasarkan kisah benar kehidupan seseorang.
“Memandangkan cerita ini dipetik daripada kisah benar, saya rasa agak mencabar juga untuk membawakan watak Karlos, akan tetapi saya berharap penonton akan berpuas hati dengan watak yang saya lakonkan ini.
“Sebelum ini saya memang tak pernah jumpa atau kenal dengan Karlos itu sendiri, tetapi sehari sebelum ke set penggambaran drama ini, saya ada pergi ke Sekolah Henry Gurney Melaka, untuk memberikan sedikit taklimat kepada pelatih-pelatih di sana, dari situ saya ada mengenali beberapa orang pelatih dan cuba mendalami perasaan mereka,” komen Johan mengenai pengalaman pergi ke pusat Juvana.
Merujuk perkembangan terbaru, Johan difahamkan bakal menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah pada 27 Mac hingga 8 April ini untuk mengerjakan umrah bersama rombongan yang dianjurkan oleh penyanyi Hafiz Hamidun.
Untuk makluman, drama ‘Karlos’ bakal bertemu penonton TV3 mulai 4 Mac ini, pada setiap hari Isnin jam 9 malam. Antara barisan pelakon yang terlibat adalah Namron, Sherlie Merlis, Syazwan Zulkifli, Azhar Sulaiman serta Jay Iswazir.-