Guna bomoh untuk menang pilihan raya



SHAH ALAM - Cerita orang politik menggunakan bomoh untuk memanjangkan karier politik mereka bukan sesuatu yang baru kerana sering diperkatakan sebelum ini.

Memang sukar untuk percaya dalam zaman moden ini masih ada pemimpin yang melakukan perkara-perkara seperti itu demi mencapai cita-cita politik, tetapi memang tidak mustahil ia masih berlaku.

Penceramah bebas, Ustaz Mohd Kazim Elias Al-Hafiz mendedahkan beberapa pemimpin parti politik pernah menemuinya untuk mendapatkan petua agar lebih disenangi rakyat.

Di Indonesia, ahli-ahli politiknya, termasuk nama-nama besar, tidak akan melakukan sesuatu kecuali setelah mendapatkan nasihat bomoh. Presiden Sukarno dikatakan mempunyai berpuluh-puluh bomoh yang berkhidmat untuknya.

Di Afrika, peranan bomoh dalam politik harian cukup besar. Emperor Bokassa dari Afrika Tengah menggunakan khidmat bomoh siang dan malam. Ini sama seperti apa yang dilakukan oleh Idi Amin Dada di Uganda dan Mobuto Sese Seko dari Congo.

Czar Nicholas dari Russia juga mempercayai Rasputin dalam pentadbirannya kerana beliau percaya bahawa bomoh yang berjanggut panjang itu mempunyai kuasa mistik yang boleh meramal masa depan.
Apa yang pelik, orang kita pun terpengaruh dengan cara orang lain, semuanya bagi satu tujuan, iaitu untuk menang pilihan raya.
Hal ini mengingatkan kita kepada satu tragedi menggemparkan negara satu ketika dahulu, di mana seorang ahli politik, Datuk Mazlan Idris, telah menjadi mangsa kepada bomoh, Mona Fandey.

Mazlan, yang ketika itu adalah Adun Batu Talam, bukan saja dibunuh, malah tubuhnya dikerat 18 bahagian.

Mazlan dibunuh pada 2 Julai 1993 di bilik air sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang, selepas mengadakan pertemuan dengan Mona Fandey, dan suaminya, Mohamed Affandi Abdul Rahman.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah antara yang menegur ahli-ahli politik agar tidak mencari bomoh untuk menang dalam pilihan raya.

Beliau berkata, bukan bomoh yang boleh memberi kemenangan, tetapi budi yang baik, tingkah laku yang sopan dan keprihatinan terhadap masalah rakyat.

Sebuah akhbar sebelum ini turut mendedahkan bahawa ada ahli politik yang ghairah mendapatkan kedudukan, pengaruh dan kuasa melalui jalan pintas, menggadai akidah melakukan perkara khurafat dengan mempercayai azimat, wafak, cincin serta
amalan pembacaan mantera tertentu.

Demi cita-cita politik, mereka, yang sebahagian besarnya golongan veteran, sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan pelbagai benda pelik kononnya mampu memberi manfaat kepada pemakainya bagi memastikan hajat tercapai.

Antara alat kononnya ajaib yang menjadi buruan ahli politik, terutama ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dekat ialah cebisan kelambu Kaabah atau kiswah yang didakwa mampu melariskan diri si pemakai, cincin permata ganjil
yang dipakai sebelum berceramah bagi membuatkan pendengar terpengaruh dan kulit rusa putih.

Mengenai perkara ini, Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz, meminta mana-mana ahli politik yang menggunakan khidmat bomoh untuk memastikan kemenangan dalam PRU akan datang, supaya bertaubat.

“Perbuatan itu salah dan syirik," katanya.

Sejauh mana penggunaan bomoh dalam mencari dan mengekalkan pengaruh politik, payah diperjelaskan, tetapi yang pasti, pada setiap pemilihan parti atau PRU, perkhidmatan bomoh sangat laris.

Artikel Terkait