Machang: Keseronokan bermain air banjir membawa padah apabila dua remaja terbunuh selepas bot yang mereka naiki bersama lima rakan terbalik di kolam ikan sedalam 2.4 meter di Kampung Pertok, dekat sini, pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi sebelum mayat Muhammad Zulkhairi Ab Talib, 15, dan Mohammad Ariff Johan Mohd Noh, 13, ditemui kira-kira setengah jam kemudian oleh penduduk kampung.
Abang kepada Muhammad Zulkhairi, Mohd Zahari, 29, berkata sebelum itu sebaik selesai bersarapan, ibu mereka, Hanifah Mamat, 53, sudah menasihatkan adiknya supaya tidak keluar rumah.
“Adik tidak ke sekolah hari ini (semalam) kerana jalan ke sekolah ditenggelami banjir. Bagaimanapun, dia tetap keluar dan kira-kira jam 11 pagi, seorang jiran memaklumkan adik lemas,” katanya.
Mayat pelajar Sekolah Menengah (SMK) Temangan dan SMK Pankal Meleret itu dibawa ke Klinik Kesihatan Temangan sebelum dirujuk di Hospital Machang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.