BUKIT MERTAJAM - Polis semalam mendapat kebenaran daripada Penolong
Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mereman 45 individu
bagi membantu siasatan terhadap sindiket pemerdagangan manusia yang
beroperasi dengan menjual bayi dan kanak-kanak selama empat hari hingga
Selasa ini.
Jumlah itu termasuk kes terbaharu membabitkan dua orang wanita yang
ditahan dalam serbuan berasingan di Subang Jaya dan Cheras, Selangor
kelmarin.
Hasil kejayaan itu, polis berjaya menemui seorang lagi bayi lelaki
berusia dua bulan, menjadikan jumlah keseluruhan bayi yang diselamatkan
ialah 22 orang.
Ketua Polis Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua mereka berusia antara 27 hingga 57 tahun terdiri daripada pekerja biasa dan profesional termasuk jurutera dan pensyarah.
"Mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14 Akta Anti
Pemerdagangan Orang 2007. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara
tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda," katanya.
Menurut Abdul Rahim, kejayaan menyelamatkan seorang bayi berusia dua
bulan daripada menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak
kelmarin selepas polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah pada pukul 1
petang di USJ, Subang Jaya.
Katanya, dalam Ops Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang
wanita berusia 32 tahun dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan.
Menurutnya, susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi
wanita di Cheras, Selangor pada hari sama bagi membantu siasatan.
"Sehingga semalam (hari ini), kita berjaya menyelamatkan 22 bayi dan
kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan
45 orang," katanya.
Kelmarin, akhbar melaporkan,
21 bayi dan kanak-kanak diselamatkan di Selangor, Johor, Perak, Kuala
Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Seramai 43 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an dipercayai dalang sindiket berkenaan ditahan.
Pada 24 Januari lalu, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket
menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah
dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta
seorang kanak-kanak.
Siasatan awal polis mendapati, bayi dan kanak-kanak itu dijual antara
RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina,
lengkap dengan penyediaan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan bayi
dan kanak-kanak tersebut. - Bernama