Kicap Bekas Botol Arak


Ani menunjukkan botol arak yang diguna semula diisi kicap dan dijual kepada pengguna.
SUNGKAI – Seorang pengguna terkejut apabila kicap yang dibeli di salah sebuah pasar raya dekat sini didakwa menggunakan bekas botol arak.
Pengguna yang hanya dikenali sebagai Ani, 45, berkata, dalam kejadian Isnin lalu, dia membeli kicap buatan bumiputera itu di salah sebuah pasar raya, di sini.
Katanya, dia tidak perasaan tentang perkara itu sehingga diberitahu anak perempuannya yang berusia 16 tahun.

“Anak saya memberitahu botol kicap yang dibeli itu seperti botol arak, kemudian saya memeriksa bahagian bawahnya dan mendapati ada tertulis jenama arak di situ,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dia yang terkejut dengan penemuan itu, melarang anaknya itu untuk menggunakan kicap itu kerana ragu dengan status isi kandungannya.
“Walaupun mempunyai tanda halal pada label botol, penggunaan bekas botol arak oleh pihak pengeluar kicap itu menyebabkan saya ragu-ragu untuk menggunakannya.
“Apa yang lebih membimbangkan, kicap buatan bumiputera yang berada di pasaran itu dikhuatiri ada yang menggunakan botol arak dan akan memberi masalah kepada umat Islam,” katanya.
Ani berkata, jika produk itu tidak dipantau oleh agensi berkenaan, ia akan memberikan masalah kepada umat Islam kerana diragui status halalnya.
Katanya, jika benar botol yang digunakan oleh syarikat itu adalah botol arak, seharusnya mereka lebih peka dengan sensitiviti umat Islam dan tidak hanya memikirkan untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Menurutnya, dia cuba menghubungi syarikat pengeluar kicap berkenaan namun tidak berjaya apabila nombor yang tertera tiada dalam perkhidmatan.
“Saya bimbang jika isu ini tidak diberi perhatian daripada pihak yang berkenaan, mungkin banyak lagi bekas botol arak ini diguna semula untuk pengeluaran kicap di pasaran sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Artikel Terkait