Kalau semalam kita dikejutkan dengan cerita Fizz Fairuz tentang pertunangannya dengan seorang wanita dari Kuantan bernama Azlyn Massiela Mohd Nazar yang terjadi seminggu selepas pertunangan mereka pada 10 Februari, hari ini melalui Berita Harian , wanita itu menafikan yang dia ialah isteri seorang usahawan seperti yang diberitahu oleh Fizz Fairuz kepada Harian Metro.
Azlyn, 26 dikatakan bingung dengan status dirinya, sama ada masih lagi tunangan Fizz, kerana Fizz tidak pernah memberitahunya untuk putus tunang, tidak berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu dan tidak pernah memulangkan cincin pertunangan.
Saya tergamam dan terus menangis, tergamak dia mengeluarkan tuduhan yang sedemikian. Pelik kerana tanpa usul periksa, dia seberani itu menjatuhkan maruah saya dan keluarga. Saya berani menyatakan, tidak pernah berkahwin sepanjang 26 tahun usia ini. Dia boleh periksa di mana-mana pejabat agama atau bertanya sendiri kepada ibu bapa perihal sebenar status diri saya. Kalau pun saya sudah punya suami selepas bernikah di sempadan, takkan emak bapa saya tidak menghalang saya berkahwin lain? Kami masih ada agama, tahu hukum hakam. Jangan jatuhkan air muka mereka dengan cerita sebegini. Andai sudah tidak lagi menyayangi, saya boleh terima kenyataan, tetapi bukan dengan cara mengaibkan orang tua saya. Emak dan ayah saya turut menangis mengenangkan apa yang dilakukannya (Fizz).Menurut Azlyn , Fizz bukan hanya berjumpa dengan keluarganya pada hari pertunangan, tetapi dia telah diperkenalkan oleh Azlyn kepada ayahnya lebih awal memandangkan Azlyn anak bongsu yang rapat dengan ayahnya. Malah, menurut Azlyn, Fizz turut diperkenalkan dengan ibu saudaranya yang tinggal di Australia.
Jika anda ingin mendapatkan berita lanjut, sila dapatkan naskhah Berita Harian anda hari ini.
Dalam pada itu, melalui sumber yang boleh dipercayai, kami dimaklumkan yang keluarga Azlyn sedang menyiasat tuduhan lelaki yang didakwa usahawan yang mengaku sebagai suami Azlyn. Mereka khabarnya bertindak membawa seorang peguam ke Selatan Thailand untuk meneliti rekod perkahwinan di sana.
Semakin berbelit nampaknya kisah Fizz Fairuz-Almy Nadia- Azlyn Massiela ini. Berat juga pertuduhan yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak, namun tidak dapat dipastikan siapa yang bercakap benar.
Yang nyata, Almy Nadia menyatakan awal-awal lagi yang dia tidak mahu masuk campur dalam kemelut ini. Satu tindakan yang bijak.